13 November 2009

Sayonara Semester 1 Tahun 1

Assalamualaikum, salam perjuangan.


Alhamdulillah, peperiksaan pada semester ini telah pun berakhir. Pada semester ini saya mengambil 6 mata pelajaran dan kesemuanya tamat sebelum saya bertamu ke Rumah Allah.


Tilawah al Quran I
31 Oktober 2009
ADM LT 5
Jam 9 pagi


Subjek ini merupakan subjek fundamental yang diwajibkan bagi para pelajar Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences. Saya mengambil subjek ini dengan Ustaz Abdul Khair Jalil, lulusan Mesir.


Saya begitu berpuas hati dengan teknik pengajaran beliau yang menggaitkan dengan matan al Jazari.


Jahili and Islamic Poetry Texts
3 November 2009
IRK SR 1.15
Jam 9 pagi


Madah ini merupakan kertas kedua decentralized exam saya pada semester ini. Ana berguru dengan Assoc. Prof. Dr. Ahmed Omran A. Ben Salim dari Libya. Pada mulanya, subjek ini diajar oleh Assoc. Prof. Dr. Majdi Hj. Ibrahim yang terkenal dengan program Hayya bil Arabiah di radio IKIM, namun berlaku perubahan pada minggu kedua semester.


Dr. Omran banyak mengaitkan subjek ini dengan budaya Arab dan asal bahasa Arab bagi perkataan-perkataan Arab.


كفر asalnya bermakna menutupi sesuatu sehingga diambil oleh bahasa Inggeris sebagai cover.



Arabic for Academic Purpose (AAP)
3 November 2009
Banquet, CAC
Jam 3 petang


Mata pelajaran ini menyediakan para pelajar dengan kaedah-kaedah asas penulisan ilmiah. Saya belajar dengan Ustaz Ibrahim Khogaly ElSayed warga Sudan. Ustaz begitu menekankan kemantapan bahasa, malah tidak pernah menyemak assignment kita sebaliknya kita diminta membentangkannya di hadapan kelas sambil ditegur secara terus di mana salah dan silap kita.


Islamic Aqidah (Arabic)
6 November 2009
Foyer 1 (CAC)
Jam 9 pagi



Jika anda sering mendengar khutbah Jumaat anda mungkin mengenali pensyarah bagi subjek ini. Dr. Majdan Alias, mengajar Rukun Iman dengan menggunakan perbandingan agama.


Quranic & Prophetic Texts
10 November 2009
Main Hall (CAC)
Jam 9 pagi


Bagi mata pelajaran ini pula ana belajar dengan Dr. Nik Hanan Mustapha. Kami diajar mempraktikkan ilmu sorof, nahu dan balaghah potongan ayat-ayat al Quran dan hadis Nabawi.


Islamic Ethics (Arabic)
11 November 2009
Jam 3 petang
Foyer 1 CAC



Bagi madah ini, ana menyelusuri perbincangan ahli-ahli falsafah berkenaan dengan akhlak di bawah seliaan Dr. Amilah Awang Abd. Rahman. Para pelajar didedahkan dengan keburukan dan kelemahan sistem moral Barat sebelum dibentangkan dengan sistem akhlak Islamiah yang syumul, bersifat rabbaniah, dan seimbang.


Sepanjang minggu peperiksaan, saya sentiasa mengikuti perkembangan Dr. Asri Zainal Abidin yang ditangkap atas kesalahan 'tiada tauliah'. Berdasarkan pemerhatian saya, beliau banyak menggunakan dalil-dalil al Quran dan as Sunnah dalam pengajaran beliau.


Saya juga suatu ketika dahulu pernah 'kurang senang' dengan gerakan beliau tanpa sebarang usul periksa, namun kehendak Allah mengatasi segalanya. Apabila saya menukar bidang pengajian saya daripada perubatan ke bahasa dan kesusasteraan Arab, saya lebih memahami isi-isi kuliah beliau yang begitu ilmiah.



Benarlah sabda Rasulullah ini :





من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

29 October 2009

بالتوفيق والنجاح


Salam perjuangan...

29 Oktober 2009


Alhamdulillah, hari ini merupakan hari terakhir bagi kelas-kelas saya pada semester ini. Esok akan bermulanya kertas pertama saya iaitu subjek Tilawah I pada jam 9 pagi di LT 5. Mohon didoakan.


10 - 12 October 2009
Majlis Konvokesyen UIAM ke-25


Sepanjang berada di UIAM, saya telah melihat bermacam-macam gelagat graduan universiti ini pada hari graduasi.

Ada yang bergambar di depan perpustakaan, di depan masjid dan sebagainya.

Ada yang membeli hadiah teddy bear, bunga ros dan lain-lain kenangan.


Saya ingin menarik perhatian para pembaca sekalian pada beberapa perkara sebagai renungan bersama.

Pernahkah terlintas di fikiran kita, adakah kegembiraan kita menyambut majlis konvokesyen itu benar-benar mencerminkan pencapaian dan usaha kita selama ini? Adakah kita layak diraikan sedemikian rupa?

Presentasi

Umum mengetahui bahawa mutu presentasi sebahagian besar pelajar UIAM terutamanya dalam subjek-subjek yang menggunakan bahasa Arab sebagai medium sangat lemah.

Antara kelemahan ketara yang saya dapat simpulkan di sini adalah:

1) Lemah penguasaan bahasa Arab.

Terdapat banyak kesalahan bahasa dalam penulisan dan pembentangan tanpa dirujuk
terlebih dahulu kepada pelajar yang lebih mahir.

2) Kurang persediaan

Boleh dikatakan kebanyakan pelajar yang membuat pembentangan di hadapan kelas tidak
mengkaji dengan begitu teliti sesuatu topik yang dibentangkan. Malah berasa lega
sekiranya tiada soalan ditanya oleh pelajar-pelajar lain.

3) Tiada kesungguhan

Terdapat juga para pelajar yang sekadar membaca slides tanpa ada usaha untuk
memperbaikinya, malah ada kes ketawa terbahak-bahak di depan!


Tugasan

Dalam membuat tugasan juga para mahasiswa kita tidak begitu bersungguh-sungguh menyiapkannya. Pedulikan sama plagiarisme,

"Alah, copy and paste ajelah, kalau buat elok-elok pun bukan pensyarah semak sangat." kata bijak pandai tak bertauliah.

Mungkin ini lebih hebat,

"Eh, tugasan subjek X dah siap? Aku belum sampai separuh lagi." soal seorang teman.
"Dah, aku dah lama siap. Ambil daripada tugasan semester lepas!" balas pelajar rajin.


Kehadiran


Sudah agak lama ana mendengar komen-komen negatif daripada pelajar-pelajar kita kepada rakan seperjuangan mereka di Mesir yang ponteng kelas di Universiti al-Azhar, namun melihat realiti yang ada di bumi UIAM pun lebih kurang sama.

Berapa ramai para pelajar kita yang ponteng kelas terutama pada waktu pagi, berapa ramai pula yang datang ke kelas begitu lewat dengan selamba, malahan ada yang tidur dalam kelas bagi subjek-subjek yang agak membosankan cara penyampaian pensyarahnya.


Ujian dan Peperiksaan

Para pelajar kita ini tadi yang 'begitu rajin' datang ke dewan kuliah pada hari-hari biasa sepanjang semester didapati bertambah rajin datang ke kelas-kelas akhir mereka mengharapkan 'tajuk-tajuk bocor' daripada pensyarah.

Pensyarah yang memberitahu tajuk-tajuk yang akan disoal dipuji, manakala pensyarah yang tidak melayan kerenah mereka ini dikeji pula.

Lantas, mereka hanya belajar pada saat-saat akhir bagi topik-topik tertentu sahaja.

Mungkin ada yang pernah mendengar kata-kata ini:

"Oh, macam ni rupanya yang aku tak faham apa aku belajar selama ini" sedar si pelajar bestari.


Tajaan

Apabila tiba musim memohon tajaan tidak kira sama ada daripada JPA, MARA, PTPTN dan sebagainya, bukan main sibuk sekali para pelajar kita mengisi borang.

Alih-alih ada sebahagian daripada mereka juga yang memiliki kecenderungan untuk memilih bersifat dengan sifat-sifat di atas.

Saya tidak mengatakan bahawa saya merupakan pelajar contoh, malah catatan ini lebih kepada muhasabah saya kepada diri saya sendiri. Saya sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian marilah bermuhasabah diri kembali.

Ingatlah, walau apa pun jenis tajaan kita, kita diberi amanah sebenarnya untuk menuntut ilmu bukan sekadar mengejar keputusan cemerlang.

Bagi yang mendapat tajaan biasiswa atau pinjaman, ingatlah anda sebenarnya menggunakan duit rakyat yang harus anda bayar dengan belajar bersungguh-sungguh dan berbakti kemudian hari.

Manakala bagi yang ditaja oleh ibu dan ayah juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Cuba bayangkan apa reaksi ayah dan ibu anda sekiranya mereka mendapat tahu perangai anak-anak mereka di UIAM ini.

Jerih perih mereka selama ini untuk membesarkan kita dan menyekolahkan kita sehingga ke peringkat universiti adakah kita hargai ?

27 October 2009

Nama Pun Bas Ekspres...

Salam perjuangan...

Masuk minggu ini sudah minggu ke-empat saya balik kampung kerana menguruskan urusan menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

Setelah beberapa lama menaiki pengangkutan awam di Malaysia, pelbagai pengalaman dan kisah yang saya alami, para pembaca yang ingin berkongsi cerita amatlah dialu-alukan untuk berbuat demikian di ruangan komen.


24 Oktober 2009
Puduraya
Jam 2 petang

Saya bersama Hamzah sampai ke Puduraya dengan harapan ingin membeli tiket segera pulang ke Sungai Petani, Kedah. Kami yang pada mulanya ingin solat terlebih dahulu diganggu dengan pertanyaan bertalu-talu daripada si penjual tiket jalanan.

Menurut pengamatan saya, si penjual tiket ini selalunya menawarkan tiket segera ke mana-mana destinasi yang diingini tanpa bertangguh-tangguh. Kemudiannya pasti banyak kerenahnya yang bakal dihadapi.

Setelah beberapa kali terkena dengan taktik mereka ini, saya lebih suka memilih untuk tempah tiket bas awal dengan beberapa syarikat bas terpilih. Namun, disebabkan saya terpaksa pulang segera ke kampung pada hari Sabtu itu, terpaksalah saya melayan sahaja si penjual tiket ini.

Sudah puas saya bertanya supaya kejadian-kejadian buruk sebelumnya tidak berulang lagi.

"Adik nak pergi mana dik?" si penjual mula 'memancing'.
"Sungai Petani" jawab saya selamba.

"Bas sekarang dik, cepat! cepat! 2.30 kita gerak!" si penjual sudah mula 'mengail'.

"Bang, bas berhenti kat mana?" saya bertanya lagi.
"R&R Bukit Gantang dik, kami tak berhenti kat luar" si penjual mula menarik 'umpannya'

"Saya belum solat lagi" saya cuba berdalih.
"Takpe...takpe...kami berhenti lama..." si penjual menang juga akhirnya.

Saya terus menaiki bas dan seperti biasa untuk bas seperti ini, free seating. Saya terus tidur merehatkan diri...

Zzz...zzz...

Masa berlalu, tiba-tiba saya terjaga daripada mimpi lantas memandang sekeliling.

"Eh, ni kat Pudu lagi!"

Jam sudah menunjukkan 3.30 petang...

"Apa ni! kata 2.30 bergerak! ini dah 1 jam!"

Rupa-rupanya penumpang-penumpang yang lain juga meluahkan isi hati yang sama.

Hampir jam 4 barulah bas bertolak. Kepala masing-masing sudah lama berasap.

"Habis dah solat aku hari ini,"

Kemudiannya, bas ini buat hal lagi.

Pukul 7 malam baru bas sampai di Hentian Bukit Gantang.

Baru saja selesai solat jama' qasar, bas sudah mahu bertolak.

"Wah, ini sudah melampau!"

Perjalanan diteruskan tetapi seperti yang sudah dijangka penumpang-penumpang ke Sungai Petani selalu dianak tirikan oleh syarikat-syarikat seperti ini.

Sampai di Pulau Pinang, kami diminta menukar bas lain pula. Keadaan mulai kecoh.

"Baru pertama kali kena kot" bisik saya dalam hati.

Kebiasaannya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah hanya mengambil masa 4-5 jam, tetapi pada kali ini hampir 8 jam baru sampai!

Kalau naik bas terkenal, pasti sudah sampai Kuala Lumpur balik...


Tersenyum sendirian tatkala membaca keratan akhbar ini :

Najib happy with Puduraya upgrade



Fasiliti sahaja yang dipertingkatkan tidak mengubah apa-apa. Kita hanya boleh berasa gah dengan perubahan Puduraya tidak lama lagi. Namun, selagi mana perkhidmatan bas ekspres masih di takuk lama, mungkin benar kata-kata ini:

World class facilities, with third world ideology.

Hai, nasib...nasib...







12 September 2009

Al Fatihah...

Salam perjuangan...

10 September 2009
Jam 9.45 malam

Ana bersama Salman, Hamzah dan sahabat-sahabat yang lain baru saja selesai menunaikan solat tarawih di MPH Halimah menerima panggilan telefon daripada Nailah. Namun memandangkan sesi tazkirah Salman akan bermula sebentar saja lagi panggilan itu dimatikan.

Sebaik sahaja sampai di OR Debate, ana menerima sms daripada Kak Beah memberitahu berita kematian ayah kepada Rahmah pada jam 9.30 malam.

Berita gempar ini kami sebarkan kepada teman-teman lain yang mengenali beliau. Ana juga sempat menelefon Rahmah bertanyakan khabar.

Sememangnya ana begitu tersentuh dengan tarbiah Pak Cik Borham rahimahullah terhadap anak-anak beliau.

Ini merupakan kali ketiga peristiwa kematian melibatkan ahli keluarga Rahmah, namun beliau dan keluarga kelihatan begitu tabah sekali. Masya Allah...

Teringat peristiwa ayah ana yang meninggal pada hujung tahun 2007, walau ana tidak menitiskan air mata pada minggu pertama kematian beliau, namun tetamu yang datang pasti dapat mengesan nada sedih pada diri ana...

Semoga Allah menempatkan roh Pak Cik Borham bersama roh-roh para solehin, amin...

Cerita lanjut boleh diperoleh di sini dan di situ.


p/s : ana baru sahaja mendapat berita kematian Purun dalam kemalangan jalan raya di Melaka...inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun...

10 September 2009

Shoutulhaq The Return...

Salam perjuangan...

Pindah Platform

Disebabkan masalah blogger.com yang digodam oleh hackers yang tidak bertanggung jawab telah pun selesai...

Ana mengambil keputusan untuk kembali menggunakan platform blogger.com.


Senarai IPT Terkemuka

Mungkin ada yang sudah melihat senarai universiti-universiti terkemuka dunia pada tahun ini :


  1. Massachusetts Institute of Technology
  2. Stanford University
  3. Harvard University
  4. University of California Berkeley
  5. Cornell University
  6. University of Michigan
  7. California Institute of Technology
  8. University of Minnesota
  9. University of Illinois Urbana Champaign
  10. University of Texas Austin

sumber


Seperti biasa universiti-universiti terbaik Malaysia seperti UM, UKM, UPM masih berlegar-legar di sekitar kedudukan yang sama. Malah, USM yang mendapat status APEX pun masih jauh ketinggalan di belakang. Persoalannya apakah kriteria pemilihan ini tepat? Mungkin persoalan ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

Ana cukup tertarik dengan komen bekas Rektor UIAM, Prof Dr. Kamal Hasan dalam ucapannya bertajuk semasa konvensyen "Strategic Planning & Quality Assurance In Higher Education in the Muslim World" di Hotel Crown Mutiara Plaza pada 20 Julai yang lalu :


Semua pihak begitu teruja untuk menaikkan rangking universiti masing-masing pada setiap tahun. Namun, saya ingin bertanya kepada sidang hadirin sekalian, universiti manakah yang membantu Muslim Bosnia dengan menerima kemasukan anak-anak Bosnia ini?

Lihatlah berapa ramai graduasi UIAM yang membangunkan kembali Bosnia hari ini !!!


06 September 2009

Moving...


Salam perjuangan...

After a few times my blog has been hacked, i would like to announce that i am moving to a new platform which is badr.hadithuna.com

This decision is really difficult for me after nearly 2 years using blogger.com. :(

31 August 2009

Islam Hadhari... Aku Digari...

Salam perjuangan...

Sedih membaca keratan akhbar ini...


Hampir 200 ditahan dalam operasi ambang merdeka


KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.

Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu membabitkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Pengerusi Perkid Selangor, Masridzi Sat, berkata semua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.

"Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup," katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.

Masridzi berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.

Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial. - Bernama



Walaupun sudah dimaklumkan tiada sambutan pada ambang merdeka...

Ramadan: Tiada sambutan "Di Ambang Merdeka"

19/06/2009 6:48pm

KUALA LUMPUR 19 Jun — Hari Kemerdekaan ke-52 tahun ini akan disambut sederhana kemungkinan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai menghormati bulan Ramadan dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sambutan "Di Ambang Merdeka" bagi mengira detik 12 tengah malam seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, tidak akan diadakan kali ini memandangkan pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Kemerdekaan ke-52 di sini hari ini, Rais berkata, sesuai dengan bulan puasa, ada cadangan agar tempat sambutan kali ini diubah dari Dataran Merdeka ke Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi ini akan ditentukan oleh kabinet.

Beliau berkata, antara manfaat untuk sambutan perayaan hari kemerdekaan diadakan di stadium ialah ia kawasan tertutup, mempunyai kemudahan asas dan logistik yang lengkap serta mampu memuatkan 100,000 orang pada satu-satu masa.

- Bernama


Pertama Kali 'Sambut Merdeka'

Teringat kenangan sewaktu di pusat matrikulasi UIAM PJ, pertama kali ana 'menyambut merdeka' bersama kawan-kawan.

Ana bersama kawan-kawan menaiki Toyota Unser ke KLCC lebih kurang jam 11.30 malam. Kesesakan lalu lintas menyulitkan kami untuk sampai ke 'tapak pesta' menaiki Unser.

Lalu, ana dan kawan-kawan mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke 'tapak pesta'. Suasana pada malam itu agak tidak terkawal dengan hiruk pikuk manusia ditambah pula dengan dentuman mercun dan bunga api di udara.

Kami terpaksa menyelit di celah-celah lautan manusia untuk ke 'tapak pesta'. Jelas kelihatan dalam kegelapan malam, ibu mengandung bertudung litup bersama anak-anak kecil turut bersama kami ingin menyambut kemerdekaan.

Kami juga sempat menyaksikan acara rempit 'halal' dan aksi pergaduhan antara dua kumpulan lelaki Melayu pada detik 12 tengah malam itu.


Ops Masih Ada Yang Sayang


Akhirnya sampai juga kami ke 'tapak pesta' (Masjid asy-Syakirin). Kelihatan perkarangan masjid sudah dipenuhi oleh para aktivis dan sukarelawan dari pelbagai institusi.

Terubat hati apabila melihat wakil-wakil dari UIAM Gombak, UIAM PJ, UM, UKM dan sebagainya bersatu untuk membuat perubahan pada sambutan kemerdekaan kali ini.

Kami kemudiannya terus ke Dewan Solat Utama untuk mendengar taklimat daripada Pengerusi PERKID Ustaz Masridzi Sat.

Tidak Tidur Sampai Subuh

Dalam taklimat tersebut, Ustaz menceritakan kepada kami adat kebiasaan pasangan yang datang menyambut malam ambang Merdeka atau ambang Tahun Baru saban tahun.

Kebiasaannya selepas jam 12 malam, mat-mat rempit ini akan membawa pasangan masing-masing bersiar-siar ke tempat lain kerana pada masa ini pasukan RELA akan mengawal keadaan di sekitar KLCC. Kami pula hanya akan bergerak pada jam 3 pagi setelah pasukan RELA pulang.

Kami kemudiannya dipecahkan dalam beberapa kumpulan mengikut institusi masing-masing ke destinasi yang sudah ditetapkan. Ana bersama sahabat-sahabat dari Pusat Matrikulasi UIAM PJ ditetapkan untuk bertugas di kawasan sekitar KLCC.

Seterusnya kami dipecahkan lagi dalam kelompok kecil bergabung bersama akhawat di mana ana dilantik sebagai ketua.

Kami diberi taklimat mengenai modus operandi kami pada pagi itu. Kami akan bergerak dalam kumpulan kecil yang mengandungi ikhwah dan akhawat. Relevannya kami digabungkan bersama supaya ikhwah akan mendekati si lelaki manakala akhawat akan mendekati si perempuan.

Alhamdulillah banyak juga pasangan yang berjaya kami dekati dan mereka berjaya kami ajak ke Masjid asy-Syakirin untuk sesi muhasabah oleh Ustaz Masridzi.

Sedihnya melihat fenomena ini. Begitu ramai muda mudi Melayu yang terlibat. Namun, alhamdulillah mereka mudah untuk menerima pendekatan ini. Subuh pagi itu, kami bersolat bersama dengan mereka yang terlibat walau tidak menutup aurat dengan sempurna tetapi biarlah mesej Islam dahulu yang sampai kepada mereka.

Janganlah dihukum mereka ini. Biarlah mesej Islam disampaikan terlebih dahulu berbanding tindakan suka menghukum sebahagian kita.

Ana amat tertarik untuk berkongsi sedikit input daripada ceramah Ustaz Masridzi Sat ketika menceritakan pengalamannya kali pertama menjalankan program ini.

Saya dah hantar surat kepada jabatan agama, pihak polis dan sebagainya ajak mereka bersama saya banteras gejala ini namun tiada jawapan...

Saya dan sahabat-sahabat turun juga pada malam itu, apa yang saya dapat ?

Islam Hadhari...Aku digari !!!

13 August 2009

Ustaz Asri Rabbani Meninggal Dunia...

Salam perjuangan,

إنّا لله وإنّا إليه راجعون

Ana agak terkejut mendengar berita kematian allahyarham ketua kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohamad Asri Ibrahim. Semoga allahyarham ditempatkan bersama roh-roh para solehin. Amin...

Ketua kumpulan Rabbani, Asri meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.

19 July 2009

Penyambut Tetamu

Salam perjuangan...03

17 Julai 2009
Jam 6 petang
Perpustakaan UIAM

Ana menerima panggilan telefon daripada Ikhwan mengajak untuk menyertainya menjadi penyambut tetamu dari luar negara di KLIA untuk menghadiri seminar yang dianjurkan oleh UIAM bersama FIUW di Hotel Crowne Plaza Mutiara.

"Bad, jom esok kita pergi KLIA jadi penyambut tetamu?"
"Eh, kena cakap Arab ke?"

Ana yang pada mulanya tidak berapa yakin dengan keupayaan diri menerima juga amanah ini.

18 Julai 2009
Jam 9 pagi
KLIA

Sebaik menjejakkan kaki ke KLIA, perasaan sebak mula menghimpit diri. Terkenang kembali kali pertama sampai ke KLIA masih ber'ayah', kali kedua datang sudah tidak ber'ayah' lagi...

Kenangan bersama ayah dan keluarga sebelum melanjutkan pelajaran ke UNHAS (Universitas Hasanuddin) di Makassar menjengah kembali...

Sempat bermalam di Concorde Inn KLIA sebelum ke Indonesia


Ana bersama Ikhwan terus mendaftarkan diri di kaunter untuk menyertai penyambut-penyambut tetamu yang lain daripada agensi-agensi pelancongan dalam ruangan public paging.

Taal, taal, Abdullah kaza wa kaza...

Isma', isma', Ahmad kaza wa kaza...

Hina, hina, Muhammad kaza wa kaza...

Jika ayat-ayat ini keluar daripada mulut seorang Islam, mempunyai latar belakang agama, menguasai asas bahasa Arab dan sebagainya seperti sahabat kita dari USIM yang membuat pengumuman di KLIA seperti ini tidaklah menjadi suatu perkara pelik:

...فعلى المسافرين الكرام التوجه إلى بوابة ...

Namun, ana betul-betul terpukul apabila melihat agen-agen daripada agensi pelancongan yang dimiliki oleh kaum Cina dan India yang mengambil tempahan daripada pelancong Arab.

Benarlah kata ayah suatu ketika dahulu di kelasnya:


"Barang siapa yang mengatakan bahawa pelajar aliran agama kurang peluang pekerjaan di Malaysia adalah pembohong! Mengapa para pelajar aliran agama mempunyai pemikiran sangat sempit hanya mahu menjadi guru J-QAF dan mengajar di masjid-masjid sahaja? Pelancong Arab begitu ramai yang datang ke Malaysia kenapa tidak ambil peluang ini?"


Ini merupakan suatu penghinaan kepada kita para pelajar aliran agama dan Arab. Begitu ramai sekali para pelajar kita dalam aliran ini sama ada di dalam atau di luar negara, ke mana perginya mereka???

Jangan hanya berbangga dengan nama institusi sahaja!!!

22 June 2009

Semester 3 Mengundurkan Diri...

Salam perjuangan...01


Alhamdulillah setelah 2 bulan lebih mengambil semester pendek, tibalah masanya untuk semester ini berakhir...

23 Jun 2009

Intro to History
Jam 3 petang

Ini merupakan kali pertama ana mengambil subjek elektif daripada Jabatan Sains Kemanusiaan. Kami para pelajar daripada Jabatan Bahasa Arab bukan sahaja harus mengambil beberapa mata pelajaran daripada jabatan-jabatan lain di bawah Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan seperti Jabatan Quran dan Sunnah, Fiqh dan Usul Fiqh, malah subjek-subjek pengantar daripada Jabatan Sejarah, Psikologi dan lain-lain.

Sepanjang mempelajari subjek ini ana bagaikan mengambil semula sejarah SPM di mana kami mempelajari sejarah peradaban dunia seperti Greek, Rom, Mesopotamia dan sebagainya.

Peluang berguru dengan Prof. Dr. Arsyadul Islam merupakan anugerah Allah bagi ana. Teknik pengajaran beliau yang suka mengaitkan topik-topik perbincangan dengan Islam sangat menarik. Banyak fakta sejarah yang menarik yang dikongsikan bersama dalam madah HIST 1000 ini.

Barulah ana faham mengapa Mongol yang menyerang Baghdad suatu ketika dahulu tergamak membakar kutub khanah Khilafah Abbasiah ketika itu.

Apalah salahnya buku-buku itu sehingga dibakar?

Rupa-rupanyanya buku-buku karangan ulama zaman silam pada waktu itu ditulis dengan tinta emas!

Hanya dengan membakarnya mereka dapat meleburkan emas-emas itu dan mengumpulkannya, betapa tamaknya manusia...

Lihatlah apa yang berlaku di Sepanyol, sewaktu zaman penjajahan dahulu...

Siapa yang tidak datang ke gereja pada hari Ahad akan dibunuh!

Barat sering melabelkan Islam dengan pengganas, kononnya Islam disebarkan dengan mata pedang...

Tetapi Kristianlah sebenarnya yang disebarkan dengan pedang!


24 Jun 2009

Nahu II
Jam 2.30 petang


Pada semester ini ana sekali lagi mempelajari subjek Nahu II bersama Dr. Solehah Hj. Yaacob. Perbahasan berkenaan jenis-jenis maf'ul, hal, tamyiz dan lain-lain menggunakan kitab Syarh Ibn Aqil li Alfiah Ibn Malik.

Alhamdulillah subjek ini dapat memantapkan lagi pemahaman ana berkenaan diskusi ilmiah para alim ulama zaman silam.


Baiklah, peperiksaan sudah tamat...senarai program sudah menunggu...16


Harapan kepada sahabat-sahabat sekalian:

Manfaatkanlah waktu cuti dengan aktiviti ilmiah dan bermanfaat...:puteh_12:

Kepada yang masih bertungkus lumus dengan peperiksaan yang mendatang, :bofu_44:
ana ucapkan بالتوفيق والنجاح

04 June 2009

Halangan dalam Mempelajari Bahasa Arab...

Salam perjuangan...


Kepentingan Bahasa Arab
kredit kepada Koleksi Rencana


Golongan pertama yang wajib menguasai bahasa ini ialah umat Islam. Ini kerana panduan utama umat Islam adalah al-Quran dan al-hadis. Kedua-dua sumber ini adalah dalam bahasa Arab. Bagaimana seseorang itu dapat menterjemahkan kehendak Allah dan rasul-Nya dalam kehidupan seharian tanpa memahami isi kandungannya.


Golongan kedua pula ialah jemaah haji. Sejumlah tiga juta umat Islam dari serata pelosok dunia berkumpul setiap tahun di bumi Mekah untuk menunaikan haji. Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit, budaya dan bahasa. Mereka adalah delegasi mewakili pelbagai negara untuk berbincang mengenai masa depan umat Islam di seluruh dunia. Sepatutnya, setiap mereka boleh berbahasa Arab untuk bermuzakarah ke arah menyelesaikan pelbagai masalah umat.


Golongan ketiga pula ialah profesional. Mereka terdiri daripada para doktor, peguam, jurutera, akauntan, geologi, pegawai tadbir dan diplomatik dan lain-lain. Untuk berjaya dalam bidang yang diceburi, seseorang itu perlu memahami dan mengaplikasikan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Ini kerana al-Quran adalah panduan hidup yang lengkap. Di dalamnya terkandung pelbagai aspek seperti perubatan, undang-undang, kejuruteraan, perakaunan, alam sekitar, pengurusan dan lain-lain lagi. Sehubungan itu, amat rugi jika profesional kita tidak dapat merujuk al-Quran untuk meningkatkan mutu dalam kerjaya mereka.


Golongan keempat ialah golongan korporat. Perlu kita sedar bahawa negara Arab berjumlah 23 negara yang keluasannya lebih besar daripada kepulauan nusantara. Bilangan penduduknya juga lebih ramai. Beberapa negara tersebut kaya dengan hasil minyak. Antaranya ialah Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Libya, Algeria dan Emiriah Arab Bersatu. Untuk memudahkan kita menjalin hubungan perniagaan yang lebih erat dengan mereka, kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Arab amat diperlukan.

Sebagai contoh, berkat komunikasi yang baik, beberapa buah konsortium dan syarikat dari Malaysia telah berjaya mendapat tender pembinaan berjumlah RM3 bilion di Arab Saudi, baru-baru ini.


Seterusnya golongan akademik dalam pelbagai bidang sepatutnya menguasai bahasa Arab untuk membuat penyelidikan. Ini kerana al-Quran adalah sumber utama dalam rujukan penyelidikan ilmiah. Kegagalan merujuk al-Quran dalam bidang yang diceburi merupakan suatu kerugian besar dalam meningkatkan kualiti penyelidikan.
Kepentingan bahasa Arab tidak dapat dinafikan lagi terutamanya dari konteks agama. Al-Qur’an ditulis dalam bahasa Arab dan ’hidup’nya bahasa ini banyak terkesan daripada mukjizat al-Qur’an yang dijamin oleh Allah SWT.


Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam



Mungkin sudah ramai yang pernah mendengar kata-kata Al Imam Hassan Al Banna ini. Ramai yang teruja lalu begitu bersemangat tinggi untuk memepelajari bahasa Al Quran ini :


Ada yang beli buku...

Ada pula yang mendaftar di kelas - kelas tuisyen...

Malah ada yang belajar secara online...

Macam-macam cara kita cuba untuk memenuhi impian mereka ini...



Namun, tidak sedikit yang gugur di pertengahan jalan...

Jadi, ana membuka ruang untuk para pembaca budiman berkongsi pengalaman mengenai halangan-halangan antum mempelajari bahasa Arab selama ini...


Ana perlu membuat presentation berkenaan "Halangan-Halangan dalam Mempelajari Bahasa Arab dan Cara Mengatasinya".

Harap ada yang sudi berkongsi rasa, sekian.

Wassalam...

24 May 2009

The 3rd & 4th Round of Weekly Arabic Debate League

Salam perjuangan...


Setelah berhempas pulas membuat persediaan, maka keputusan pusingan ke-3 dan ke-4 liga debat bahasa Arab kali ke-3 terserlah jua...:cry:


Pasukan ana di bawah bimbingan kak Aishah kalah lagi bagi pusingan ke-3 sebagai pembangkang (معارضة) dengan tajuk 'Galakan Pelancongan Domestik Amat Penting'

تشجيع السياحة الداخلية ضرورة

setelah bertemu dengan pasukan di bawah seliaan Ikhwan. Tahniah untuk si dia kerana menjadi pendebat terbaik bagi pusingan kali ini. Hayatilah syair Imam Syafie ini...


سافر تَجدْ عِوضاً عمّن تفارقه ..........وانْصَب فإن لذيذَ العيش في النّصَبِ

إني رأيتُ وُقوف الماء يُفْسِــده .......... إن سال طاب وإن لم يَجرِ لم يَطبِ

Manakala pada pusingan ke-4, pasukan ana sebagai pihak kerajaan dengan membawa tajuk 'Kebersihan Jalan Tanggungjawab Individu'

المحافظة على نظافة الشوارع مسؤولية الأفراد

menentang anak-anak didik Huda. Pasukan ana kurang bersedia untuk tajuk ini, hasilnya pasukan kami sekali lagi kalah bagi kali ke-4.

Round 4

Walaupun kalah, ana dan ahli-ahli pasukan yang lain berasa bersyukur kerana dapat menambahkan ilmu dan kemahiran kami berkaitan bahasa Arab sepanjang program debat berlangsung.


Baiklah, memandangkan soalan pada entry sebelumnya belum terjawab, kali ini ana ingin menambahkan satu lagi soalan untuk para pembaca sekalian:

Apakah terjemahan perkataan berikut dalam bahasa Arab ?

1) kerajaan

2) Speaker Parlimen (Dewan Rakyat)


haa...jawab jangan tak jawab...03

18 May 2009

My 3rd Short Semester

Salam perjuangan...peace

Sudah agak lama ana tidak mengarang apa-apa di blog ini. Semester pendek kali ini merupakan semester pendek ke-3 ana sepanjang berada di bumi UIAM (kali pertama di matrik PJ, kali kedua di UIAM Kuantan).


1 - 3 Mei 2009

Beberapa hari sebelum bermulanya semester ini ana telah menyertai suatu bengkel bertajuk Arabic Debating Skills Enhancement Workshop anjuran Kelab Debat Bahasa Arab UIAM. Ana yang pada asalnya ditugaskan sebagai ahli jawatan kuasa program, telah diminta oleh pihak ketua fasilitator, Ikhwan untuk menggantikan salah seorang fasilitator yang tidak dapat bersama pada program tersebut. Program ini yang mensasarkan pelajar-pelajar beberapa IPTS berjaya menarik penyertaan daripada KIAS, USIM, KIPSAS dan DQ.

Majmuah Al Ankabut (مَجْمُوعَة العنكبوت)

Walau pun pada permulaan program terdapat beberapa orang pelajar yang masih kekok berbahasa Arab, alhamdulillah sepanjang 2 hari 3 malam ini mereka berjaya juga meningkatkan kemahiran berbahasa Arab berbanding sebelumnya...

Sesi Tanwir oleh Akh Rajawi

Sesi Pembentangan

Ana mengucapkan ribuan terima kasih kepada akh Ikhwan dan barisan fasilitator yang sudi memberi tunjuk ajar sepanjang program berlangsung. Ana juga mewakili pihak kelab memohon ampun dan maaf kepada para peserta jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan daripada pihak kami.


14 Mei 2009

Bermula 14 Mei, biro Studio dan Latihan, Kelab Debat Bahasa Arab UIAM telah memulakan latihan mingguan atau lebih dikenali sebagai 3rd Weekly Arabic Debate League. Program ini dimulakan dengan sesi tanwir @ brainstorming session bersama jurulatih - jurulatih UIAM seperti Ustaz Salah, Ustaz Ibrahim dan Ustaz Majdi.

Pada sesi latihan kali ini, kami menerima ramai muka - muka baru yang berpotensi untuk untuk dicanai tahap bahasa Arab mereka. Pelajar - pelajar Arab juga lebih ramai yang berminat untuk menyertai program latihan ini. Syukur alhamdulillah, penyertaan mereka amatlah dialu - alukan untuk mencetuskan suasana yang lebih kondusif untuk meningkatkan mutu bahasa Arab dalam kalangan peserta Melayu.


16 Mei 2009

Latihan kali ini menggunakan sistem premier league, di mana 4 kumpulan dengan tunjuk ajar daripada 4 orang mentor Kak Ayu, Ikhwan, Kak Aishah dan Huda akan berentap sepanjang 4 minggu. Pada hari Sabtu pula telah diadakan sesi debat pusingan pertama dengan tajuk 'Media Massa Penyebab Utama Keruntuhan Akhlak Remaja'.

وسائل الإعلام المعاصرة سبب انحلال أخلاق السباب

Pada pusingan ini, kumpulan ana di bawah seliaan kak Aishah sebagai pembangkang (معارضة) menentang pasukan Huda. Keputusannya, pasukan ana kalah. Pada pusingan ke-2, sekali lagi pasukan ana sebagai pembangkang tewas kepada pasukan kak Ayu dengan tajuk 'Produk Tempatan Lebih Bagus Daripada Produk Luar Negara'

المنتج المحلي أفضل من المستورد

Walau kalah 2 kali berturut - turut, namun kalah menang adat pemainan. Apa yang penting adalah pengalaman manis berdebat. Insya allah, pada hari Sabtu yang akan datang pasukan ana akan bertemu dengan anak didik Ikhwan sebagai pembangkang dalam tajuk yang akan diberitahu kelak.

p/s: kalau pembangkang = مُعَارَضَة , kerajaan dalam bahasa Arab ape ???

28 April 2009

Practical Training...

Salam perjuangan...


27 April 2009

Malam ini merupakan malam terakhir ana mengajar bahasa Arab kepada beberapa orang pelajar di Madrasah Al Hidayah Al Islamiah. Terasa agak berat mahu menyerahkan adik-adik ini kepada anak murid ayah ana yang lebih senior sementara pemergian ana menyambung pengajian bagi semester pendek di UIAM.


19 April 2009 

Bermulanya cuti akhir semester 2 bagi para pelajar UIAM Gombak. Masing-masing dengan agenda masing-masing. Ada bermacam ragam mereka memanfaatkan waktu yang terluang ini. Ada yang melancong, ada yang berprogram dan sebagainya. Ana pula bagaimana ???

Seperti biasa selama ini setiap kali menjekang cuti persekolahan atau cuti selepas menjejakkan kaki di menara gading, ana akan menuntut ilmu bahasa Arab di sekolah Allahyarham ayah ana, Ustaz Sha'ari Ishak pada waktu pagi, petang dan malam.

Tapi pada malam itu, selepas setengah jam belajar...

Ana diminta untuk mengajar...

Ini merupakan pengalaman pertama ana mengajar mengikut kaedah pengajaran yang telah ayah ana terapkan selama ini di kelas beliau.

Pada mulanya ana berasa agak kekok juga apabila dipanggil ustaz...hehe...memandangkan ilmu ana yang tak seberapa dibandingkan dengan senior-senior madrasah.

Namun, amanah yang diberikan itu ana terima juga sebagai melatih diri menjadi pewaris ayah ana, bekas Pakar Rujuk Bahasa Arab, Kementerian Pelajaran Malaysia suatu ketika dahulu...

   

Alhamdulillah, setelah seminggu lebih ana belajar dan mengajar, ana merasakan bahawa salah satu cara untuk ana meningkatkan penguasaan bahasa Arab ana selain berdebat adalah mengajar!

Ana tidak dapat tidak sependapat dengan Joseph Joubert: 


To teach is to learn twice

18 April 2009

Mari Membaca...

Salam perjuangan...

Alhamdulillah baru sahaja sampai daripada Pesta Buku Antarabangsa 2009 PWTC. Suatu program yang wajar dihargai. Begitu ramai sekali peserta pameran kali ini termasuk daripada Mesir.

Ini merupakan kali pertama ana mengunjungi pesta buku sebesar ini, sayangnya di Indonesia ana tidak sempat pergi ke pesta buku mereka yang dikatakan lebih meriah. Kedatangan pengunjung juga amat memberangsangkan. Syabas diucapkan!

Disebabkan punya tugas mengedarkan flyers untuk Al Diwan, ana hanya sempat untuk membeli 3 buah buku sahaja:

1) دِيْوَان اللإمَام الشَافِعِي 

Buku ini merupakan himpunan syair-syair Imam Syafie rahimahullah.

2) Rindu Bau Pohon Tin

Buku ini merupakan catatan kembara Ustaz Hasrizal Abdul Jamil sepanjang pengajian beliau di Dataran Syam.


3) Bercinta Sampai ke Syurga

Buku ini merupakan sekuel kepada 'buah sulung' ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Aku Terima Nikahnya!

Sekian,

kepada para pelajar UIAM Gombak:

selamat bercuti kepada yang bercuti...

selamat bekerja buat yang bekerja...

selamat bertugas buat Wataniah dan BTN... :)

17 April 2009

Belasungkawa...

Assalamualaikum.


Mungkin ada di antara kita yang sudah terbaca berkenaan berita kemalangan jalan raya di Batu Pahat, Johor melibatkan sebuah kereta kancil dan bas ekspress. Kemalangan tersebut mengakibatkan kematian seorang suri rumah tangga dan dua anak kecilnya. Berita lanjut di sini dan di sini.


Namun, barangkali tidak ramai yang tahu bahawa mangsa merupakan kakak kepada salah seorang pelajar UIAM kampus Gombak dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab.


Salam takziah diucapkan, semoga mereka semua termasuk dalam kalangan golongan orang-orang beriman. 


اللهم اغفر لهم وا رحمهم وعافهم واعف عنهم


14 April 2009

-_- ...Bakal Bertukar Status... -_-

Assalamualaikum, salam perjuangan...

tanggal 15 April 2009...


jam 5 petang...


akan bertukarlah statusku kepada...



haa... 


jangan sembarang je...



akan bertukarlah status ku daripada 'budak celpad' kepada 'budak kuliyyah' macam dia ni...


alhamdulillah setelah 2 semester ana di CELPAD akhirnya ana akan melangkah ke alam kulliyyah Bahasa Arab macam students lain...


alhamdulillah ana rasa amat bersyukur kerana batch ana 081... yang belajar di CELPAD level skills mendapat kebenaran untuk mengambil beberapa subjek kulliyyah bersama para pelajar yang lain.

Ana ingin berkongsi sedikit sebanyak subjek2 yang telah ana pelajari sepanjang 2 semester ini :

Sem 1, 2008

 

Ulum Hadis

 

Ana berguru dengan seorang pakar dalam bidang ini, Assoc. Prof. Dr. Abu Laits dengan menggunakan kitab karangannya sendiri 

 (علوم الحديث : أصيلها ومعاصرها).

 Alhamdulillah, ana banyak mendapat manfaat daripada beliau. Dalam subjek ini, ana mengetahui taraf-taraf hadis-hadis nabawi. Subjek banyak menginsafkan ana yang selama ini memandang remeh berkenaan keperluan menilai sesuatu hadis sebelum diriwayatkan dalam penulisan dan penyampaian ana.

 

Intro to Fiqh

 

Subjek ini juga banyak mengubah pemikiran ana berkenaan agama Islam yang dibina atas hujah-hujah dalil yang mu’tabar. Kami menggunakan kitab karangan salah seorang pensyarah UIAM, Dr. Fuad Sawari lulusan Jordan (المدخل إلى دراسة الفقه الإسلامي).

Ana mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru ana, Ust Wan Rumaizi yang banyak membuka minda kami sepanjang semester dengan perbincangannya yang menarik bersama para pelajar berkaitan sejarah mazhab-mazhab Fiqh.

 

Ulum Quran

 

Ya, jika subjek sebelumnya belajar menggunakan kitab karangan suami (Dr. Fuad Sawari), maka subjek ini pula kami menggunakan kitab karangan isterinya, Dr Sofiah yang mengajar dengan penuh dedikasi, 

(المدخل إلى دراسة علوم القرآن).

Kami mengetahui sejarah pembukuan al Quran dan ilmu-ilmu lain berkaitan al Quran serta cara menangkis serangan pemikiran musuh-musuh Islam berkaitan al Quran.


Sejarah Sastera Arab (تاريخ الأدب العربي)

 

Subjek ini merupakan subjek kuliah pertama ana. Ana menuntut bersama Dr Adli Yaacob. Baru pertama kali ana terdengar mengenai syair Arab dan sebagainya…Hatta Imam Syafie pun bersyair!

 

لَيْسَ الْمَرْؤُ بِثِيَابِهِ                           

Tidaklah sesorang itu mulia kerana pakaiannya

 

 

عَلَيَّ ثِيَابٌ لَوْ تٌبَاعُ بِفَلْسٍ                  

Pakaianku ini jika dibeli dengan 1 Fals          

لَكَانَ الْفَلْسُ مِنْهُنَّ أَكْثَرَ                                                

Nescaya 1 Fals itu lebih banyak

وَفِيْهِنَّ نَفْسٌ لَوْ تُقَاسُ                        

  Dalamnya terdapat jasad yang jika ditimbang

بِنُفُوْسِ الْوَرَىْ لَكَانَ أَجَلَّ وَأَكْبَرَ 

Dengan manusia seluruhnya nescaya lebih mulia dan agung

 

Wah, bukan main lagi Imam Syafie ini membidas ejekan tukang gunting rambut terhadap kemiskinan beliau! Beliau menunjukkan contoh bahawa tokoh ulama harus berani mempertahankan diri bukan dengan berkata secara tawadu’: “lantak la nak kata ape pon…”

 

Bahasa Melayu Lanjutan

 

Subjek ini merupakan subjek yang harus ana ulang semula selepas subjek yang sama ana belajar di UIAM Kuantan dahulu tidak diambil kira, huhu…sabar la bad… -_-

 

Dalam subjek ini kami mempelajari sejarah bahasa Melayu yang hanya berasal daripada 3 perkataan sahaja pada asalnya dan perkembangannya sampai hari ini. Credit to my lecturer, Khalifah Suffiah… J

 

Listening skills

 

Ana belajar bersama Ust Azhari yang banyak menggunakan khidmat audio. Setiap suara latar rakaman audio ini ana kenal setelah menyertai debat bahasa Arab. Alhamdulillah, agak membantu ana dalam mengarungi hari-hari sebagai budak CELPAD dalam subjek kulliyyah.   

 

Speaking skills

 

Ust Wan Rusli Wan. Itulah nama pensyarah bagi mata pelajaran ini. Masih teringat suatu kuiz beliau untuk membuat summary (تَلْخِيْصْ) sebuah drama pentas Arab (مَسْرَحِيَّة)  bertajuk ‘Kucing dan Tikus’ (قِطَط وَفِرَان) dalam waktu revision period sebanyak beberpa ratus muka surat! Walau pada mulanya, ana agak tidak berpuas hati dengan tugasan ini, namun setelah hampir menyiapkannya ana mengakui manfaatnya.  

 

Syukran ya ustaz!

 


Sem 2, 2008/2009

 

Nahu 1 (اَلنَّحْو الْعَرَبِي الأول)


Jika semester lepas ana belajar bersama adiknya, Dr. Adli Yaacob maka semester ini ana belajar pula dengan kakaknya, Dr. Solehah Yaacob. Ana bersama sahabat-sahabat seperjuangan diperkenalkan dengan kitab Syarh Ibn Aqil (شَرْح ابْن عقيل) syarah kepada kitab Alfiah Ibn Malik (اَلْفِية ابن مَالِك).

Jika sebelum ini ana hanya belajar secara praktikal daripada allahyarham ayah ana, ustaz Sha’ari Ishak, maka semester ini ana belajar teori-teorinya pula.

 

Sorof 1


Seperti nahu yang sempat ana pelajari bersama ayah ana di sekolah beliau sewaktu cuti penggal persekolahan, ana juga hanya belajar sorof serba ringkas. Dalam subjek ini barulah ana mengetahui teori-teori ilmu sorof daripada Dr. Yasir menggunakan kitab karangan salah seorang pensyarah bahasa Arab UIAM, Dr. Abu Said. Alhamdulillah, Dr. Yasir banyak menekankan bahagian praktikal sorof.

 

Usul Fiqh


Dalam subjek ini pula, ana berguru bersama ust Mustafa dengan menggunakan kitab karangan Dr. Fuad Sawari (المدخل إلى دراسة أصول الفقهي الإسلامي).

Para pelajar dibawa menyelusuri manhaj-manhaj aliran para ulama usul fiqh dan mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan qias dan ijma’ selain al Quran dan as Sunnah.


Bahasa Melayu Komunikasi


Ana mengetahui protokol-protokol urusan rasmi melalui subjek ini bersama Datin Wan Khuzaimah. Kami juga belajar format-format surat rasmi, memorandum, kertas kerja dan sebagainya.

 

Writing skills

 

Ust Mohamad El Taiyib, pensyarah daripada Sudan mengajar kami dengan begitu tegas terutamanya berkaitan kehadiran kami ke kelas.

 

p/s: kata2 hikmat beliau: Idon’t care if you come late as long as you come… ^_^

 

Reading skills

 

Subjek ini belajar bersama 2 pensyarah Dr. Abdullah Adam Khair dan Ust Mohamad El Taiyib.

 

p/s: Eh, Esok ana exam paper ni jam 3 petang…harap doakan ya!