31 August 2009

Islam Hadhari... Aku Digari...

Salam perjuangan...

Sedih membaca keratan akhbar ini...


Hampir 200 ditahan dalam operasi ambang merdeka


KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.

Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu membabitkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Pengerusi Perkid Selangor, Masridzi Sat, berkata semua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.

"Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup," katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.

Masridzi berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.

Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial. - Bernama



Walaupun sudah dimaklumkan tiada sambutan pada ambang merdeka...

Ramadan: Tiada sambutan "Di Ambang Merdeka"

19/06/2009 6:48pm

KUALA LUMPUR 19 Jun — Hari Kemerdekaan ke-52 tahun ini akan disambut sederhana kemungkinan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai menghormati bulan Ramadan dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sambutan "Di Ambang Merdeka" bagi mengira detik 12 tengah malam seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, tidak akan diadakan kali ini memandangkan pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Kemerdekaan ke-52 di sini hari ini, Rais berkata, sesuai dengan bulan puasa, ada cadangan agar tempat sambutan kali ini diubah dari Dataran Merdeka ke Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi ini akan ditentukan oleh kabinet.

Beliau berkata, antara manfaat untuk sambutan perayaan hari kemerdekaan diadakan di stadium ialah ia kawasan tertutup, mempunyai kemudahan asas dan logistik yang lengkap serta mampu memuatkan 100,000 orang pada satu-satu masa.

- Bernama


Pertama Kali 'Sambut Merdeka'

Teringat kenangan sewaktu di pusat matrikulasi UIAM PJ, pertama kali ana 'menyambut merdeka' bersama kawan-kawan.

Ana bersama kawan-kawan menaiki Toyota Unser ke KLCC lebih kurang jam 11.30 malam. Kesesakan lalu lintas menyulitkan kami untuk sampai ke 'tapak pesta' menaiki Unser.

Lalu, ana dan kawan-kawan mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke 'tapak pesta'. Suasana pada malam itu agak tidak terkawal dengan hiruk pikuk manusia ditambah pula dengan dentuman mercun dan bunga api di udara.

Kami terpaksa menyelit di celah-celah lautan manusia untuk ke 'tapak pesta'. Jelas kelihatan dalam kegelapan malam, ibu mengandung bertudung litup bersama anak-anak kecil turut bersama kami ingin menyambut kemerdekaan.

Kami juga sempat menyaksikan acara rempit 'halal' dan aksi pergaduhan antara dua kumpulan lelaki Melayu pada detik 12 tengah malam itu.


Ops Masih Ada Yang Sayang


Akhirnya sampai juga kami ke 'tapak pesta' (Masjid asy-Syakirin). Kelihatan perkarangan masjid sudah dipenuhi oleh para aktivis dan sukarelawan dari pelbagai institusi.

Terubat hati apabila melihat wakil-wakil dari UIAM Gombak, UIAM PJ, UM, UKM dan sebagainya bersatu untuk membuat perubahan pada sambutan kemerdekaan kali ini.

Kami kemudiannya terus ke Dewan Solat Utama untuk mendengar taklimat daripada Pengerusi PERKID Ustaz Masridzi Sat.

Tidak Tidur Sampai Subuh

Dalam taklimat tersebut, Ustaz menceritakan kepada kami adat kebiasaan pasangan yang datang menyambut malam ambang Merdeka atau ambang Tahun Baru saban tahun.

Kebiasaannya selepas jam 12 malam, mat-mat rempit ini akan membawa pasangan masing-masing bersiar-siar ke tempat lain kerana pada masa ini pasukan RELA akan mengawal keadaan di sekitar KLCC. Kami pula hanya akan bergerak pada jam 3 pagi setelah pasukan RELA pulang.

Kami kemudiannya dipecahkan dalam beberapa kumpulan mengikut institusi masing-masing ke destinasi yang sudah ditetapkan. Ana bersama sahabat-sahabat dari Pusat Matrikulasi UIAM PJ ditetapkan untuk bertugas di kawasan sekitar KLCC.

Seterusnya kami dipecahkan lagi dalam kelompok kecil bergabung bersama akhawat di mana ana dilantik sebagai ketua.

Kami diberi taklimat mengenai modus operandi kami pada pagi itu. Kami akan bergerak dalam kumpulan kecil yang mengandungi ikhwah dan akhawat. Relevannya kami digabungkan bersama supaya ikhwah akan mendekati si lelaki manakala akhawat akan mendekati si perempuan.

Alhamdulillah banyak juga pasangan yang berjaya kami dekati dan mereka berjaya kami ajak ke Masjid asy-Syakirin untuk sesi muhasabah oleh Ustaz Masridzi.

Sedihnya melihat fenomena ini. Begitu ramai muda mudi Melayu yang terlibat. Namun, alhamdulillah mereka mudah untuk menerima pendekatan ini. Subuh pagi itu, kami bersolat bersama dengan mereka yang terlibat walau tidak menutup aurat dengan sempurna tetapi biarlah mesej Islam dahulu yang sampai kepada mereka.

Janganlah dihukum mereka ini. Biarlah mesej Islam disampaikan terlebih dahulu berbanding tindakan suka menghukum sebahagian kita.

Ana amat tertarik untuk berkongsi sedikit input daripada ceramah Ustaz Masridzi Sat ketika menceritakan pengalamannya kali pertama menjalankan program ini.

Saya dah hantar surat kepada jabatan agama, pihak polis dan sebagainya ajak mereka bersama saya banteras gejala ini namun tiada jawapan...

Saya dan sahabat-sahabat turun juga pada malam itu, apa yang saya dapat ?

Islam Hadhari...Aku digari !!!

13 August 2009

Ustaz Asri Rabbani Meninggal Dunia...

Salam perjuangan,

إنّا لله وإنّا إليه راجعون

Ana agak terkejut mendengar berita kematian allahyarham ketua kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohamad Asri Ibrahim. Semoga allahyarham ditempatkan bersama roh-roh para solehin. Amin...

Ketua kumpulan Rabbani, Asri meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.