19 January 2011

Beza antara Pencipta dan Pereka...

Assalamualaikum.

Berikut merupakan petikan akhbar Kosmo bertarikh 16 Januari 2011 :

Gajah purba diklon bakal hidup semula

TOKYO – Gajah Mammoth yang pupus sejak beribu-ribu tahun dahulu bakal dihidupkan semula dalam masa cuma empat tahun, lapor sebuah akhbar di sini semalam.


Dalam siri eksperimen mirip filem sains fiksyen The Jurrasic Park, nukleus tisu kulit dan otot Mammoth yang ditemui beku di dalam ais di Siberia akan digunakan untuk menghidupkan semula haiwan purba itu.


“Masalah teknikal dalam eksperimen ini telah diatasi, kami cuma memerlukan sampel nukleus yang baik,” kata seorang profesor di Universiti Kyoto yang terbabit dalam projek berkenaan, Akira Iritani.


Nukleus sel mammoth itu akan dimasukkan ke dalam sel telur gajah Afrika yang akan berfungsi sebagai ibu tumpang disusuli tempoh bunting selama 600 hari.


“Saya fikir kami mempunyai peluang yang cerah dengan seekor anak gajah mammoth akan dilahirkan dalam masa empat tahun lagi,” katanya. – Agensi

------------------------------------------------------------------------------------

Komen penulis :

Seusai membaca keratan akhbar ini penulis teringat kepada suatu sesi kuliah Islamic Aqidah bersama Dr. Majdan Alias mengenai perbezaan antara Pencipta dan pereka.

Beliau menegaskan bahawa hanyalah Allah Tuhan Yang Maha Pencipta (al-Khaliq). Manakala manusia pada hari ini dengan sedikit kepandaian yang Allah berikan kepada mereka sering mendabik dada dengan kemajuan teknologi mereka lalu menolak kewujudan Tuhan dan mahu menjadi Tuhan pula!

Para saintis yang terpengaruh dengan teori evolusi versi Charles Darwin seringkali cuba membuktikan keabsahan teori mereka sepertimana kita lihat dalam contoh di atas.

Konon mereka mampu membuat hidupan atau memberi nyawa kepada makhluk Allah. Mungkin ada yang berhujah lihatlah Dolly, biri-biri pertama dunia yang berjaya diklonkan dan lain-lain lagi.

Bukankah ini merupakan bukti kita tak perlu lagi kepada Tuhan andai Tuhan itu wujud? Lalu dipetik kata-kata tokoh mereka Karl Marx "Die Religion ... ist das Opium des Volkes" bermaksud agama sebagai candu masyarakat

Namun mereka lupa bahawa para saintis itu hanya mampu menjadi pereka bukan pencipta. Menurut bahasa Arab perbuatan mencipta dikhususkan untuk Allah Taala sahaja iaitulah perkataan khalaqa (خلق). Allah Maha Pencipta kerana Allah mencipta segala makhluk-Nya daripada tiada kepada ada.

Manakala, perbuatan mereka cipta dalam bahasa Arab ialah (صنع) bermaksud menukarkan gabungan beberapa objek menjadi objek yang lain pula. Oleh sebab itu, kilang dalam bahasa Arab dinamakan sebagai masna' (مصنع) kerana produk kilang ialah hasil gabungan atau campuran bahan-bahan yang Allah ciptakan sebelumnya. Maka, amat aneh sekali sikap sebahagian manusia yang merasakan bahawa dirinya mampu untuk mengatasi kuasa Allah, sedangkan mereka hanya diberi sedikit ilmu sahaja daripada lautan ilmu Allah.

Maha Suci Allah!