26 April 2010

Kegagalan Hari Ini Kejayaan Hari Esok...

Salam perjuangan.

Maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Banyak ilham untuk menulis datang namun masa begitu mencemburui penulis. 

Tamat sahaja peperiksaan pada 6 April lalu, penulis terus bergegas pulang ke kampung halaman melawat emak dan atuk. Sudah agak lama tidak pulang ke Sungai Petani, Kedah sejak semester 2 bermula. Namun, kepulangan saya hanya seketika kerana pada hari Isnin 12 April saya harus berada di UIAM Gombak semula memandangkan IDC semakin hampir.


Inter-School Debating Championship 2010 
16-21 April 2010

Buat pertama kalinya IDC mengadakan debat kategori bahasa Arab peringkat Sekolah Menengah yang disertai oleh sekolah-sekolah daripada pelbagai latar belakang; KISAS, SMI Hidayah, Maahad Mahmud, SBPI Gombak, SMAP Labu, SMKA al Irsyad, MRSM Balik Pulau dan sebagainya. 

Tahniah diucapkan kepada pasukan pembangkang SMI Hidayah yang telah berjaya menewaskan pasukan pencadang dari KISAS dalam pusingan akhir di CAC dengan usul "Pengkelasan Sekolah-Sekolah Berdasarkan Pencapaian Akademik Amat Penting ". 

Penulis sewaktu majlis penutup IDC di CAC

Saya selaku ketua lajnah Tabs and Adjudications meminta maaf sekiranya kelancaran program banyak terganggu disebabkan oleh kesalahan daripada pihak kami. Semoga IDC tahun hadapan menjadi gelanggang yang lebih sengit lagi bagi sekolah-sekolah yang bertanding. 

Siapakah yang akan merebut piala pusingan IDC daripada SMI Hidayah pada tahun 2011? Sama-sama kita nantikan...


UIAM
20 April 2010 
Jam 5 petang

Ketika para peserta IDC 2010 berdebar-debar menantikan keputusan debat bahasa Arab pusingan akhir, para ahli jawatankuasa juga kecut perut menunggukan detik pengumuman natijah peperiksaan kami pada semester 2 yang lalu. 

Kepada sahabat-sahabat yang mendapat Anugerah Dekan, syabas diucapkan. Manakala teman-teman yang kurang bernasib baik usah bersedih. Peperiksaan bukan segala - galanya. 

 Dunia belum berakhir...

Masih banyak subjek yang akan kita tempuhi. Jadikan kegagalan hari ini sebagai kejayaan hari esok. 


Keputusan Rasmi SPM
Sek Men Keb Khir Johari
2005

Teringat suatu ketika dahulu sewaktu saya tidak mencapai keputusan cemerlang dalam SPM (11A1), hancur punah harapan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Timur Tengah tajaan JPA-MARA.

Rasa malu amat sangat untuk berdepan dengan baba dan emak. Bagai tiada erti ucapan tahniah bertalu-talu daripada rakan-rakan dan guru-guru ketika itu. Saya tidak dapat bayangkan bagaiman reaksi mereka jika keputusan SPM saya mereka ketahui kelak.

Baba menelefon mahu ke sekolah pada tengah hari itu. Sudah terbayang dalam benak apakah tindakan baba kepadaku. Baba memang terkenal garang dengan anak-anak murindya apatah lagi anaknya sendiri!

Berleter?


Maki?


Pukul?


Namun, ternyata jangkaanku meleset sama sekali. Baba hanya bercerita kepadaku. Kisah benar yang diceritakan oleh baba pada hari berkenaan masih terpahat di mindaku.

"Ada seorang pelajar cemerlang di Mesir. Beliau bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti terkemuka di Mesir. Beliau memang seorang yang sangat rajin belajar, pelajar harapan sekolah.

Suatu hari, apabila keputusan peperiksaan yang akan menentukan kemasukan para pelajar Mesir diumumkan, ternyata keputusan beliau tidak mencukupi untuk membolehkannya mengambil bidang kedoktoran. Beliau hanya layak memasuki bidang Sains sahaja.

Namun, beliau tidak berputus asa. Beliau jadikan kemarahan, kesedihan, kekecewaan beliau setelah gagal menyambung pelajaran dalam bidang perubatan sebagai batu loncatan untuk beliau bersungguh-sungguh dalam bidang Sains yang ditawarkan.

Setelah masa berlalu, beliau kini menjadi kebanggan umat Islam sejagat hanya kerana beliau berjaya menukar emosi negatifnya menjadi pemangkin semangat untuk beliau berjaya dalam bidang Sains. Sekiranya beliau gagal mengawal emosinya pada suatu ketika dahulu dan terus murung dan sedih dengan kegagalan pada waktu itu pastilah dunia tidak dapat meneroka angkasa lepas seperi sekarang."


   Dr. Farouk Al-Baz 

Terima kasih baba kerana memahami jiwa anakmu. Benarlah kata orang, high expectation from parents menyebabkan anak-anak hilang kreativiti dan minat belajar. Mereka sudah hilang jati diri, hanya melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang berprestij tanpa punya hak untuk menyuarakan keinginan peribadi.

Memori ini penulis kisahkan bersempena ulang tahun ayahanda Tuan Guru Ustaz Sha'ari bin Ishak rahimahullah yang ke-64 sekiranya beliau masih hidup. Moga beliau dirahmati Allah dan rohnya ditempatkan bersama para solehin...Amin


~Tuan Guru Ustaz Sha'ari bin Ishak rahimahullah~

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum. Salam perjuangan.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini. Segala isi kandungan blog ini merupakan serba sedikit perkongsian ilmu, pengalaman dan pendapat penulis.

Para pembaca diizinkan untuk berkongsi bahan-bahan blog ini dengan syarat dikekalkan link kepada blog ini.

Sebarang nasihat, komen, kritikan membina dan teguran berhikmah untuk penambahbaikan blog ini amatlah dialu - alukan.

Terima kasih.