22 January 2008

Gaza bergelap ‘hukuman mati’ rejim Israel

BANDAR GAZA 21 Jan. – Seluruh Gaza bergelap selepas loji janakuasa tunggal yang beroperasi terpaksa ditutup berikutan kehabisan bahan bakar berikutan sekatan Israel yang mahu membendung serangan roket para pejuang Palestin.

Penutupan loji yang membekalkan 30 peratus keperluan elektrik penduduk di wilayah ini menyebabkan seluruh Bandar Gaza bergelap dan memburukkan lagi keadaan masalah yang sedia teruk di wilayah pesisir ini.

Bekalan elektrik ditutup secara rasmi pada pukul 8 malam tadi (2 pagi Isnin waktu Malaysia) dan tindakan itu akan menyebabkan krisis kemanusiaan yang mengancam nyawa penduduk.

“Kami terpaksa menutup loji janakuasa ini sebab kehabisan bahan api,” kata Pengarahnya, Rafiq Mliha.

Beliau turut memberi amaran mengenai “kesan buruk kepada penduduk, operasi hospital dan loji rawatan air.”

Rafiq memberitahu, beliau juga tidak mengetahui bila Israel akan membenarkan bekalan bahan api dibawa masuk bagi membolehkan loji janakuasa beroperasi semula.

Sementara itu pegawai Kementerian Kesihatan, Dr. Moaiya Hassanain memberi amaran, tindakan menyekat penghantaran bahan api akan mencetuskan malapetaka kesihatan.

“Kami hanya ada pilihan sama ada memotong bekalan elektrik untuk bayi di wad bersalin atau pesakit pembedahan jantung atau menghentikan kerja di bilik bedah,” katanya.

Wilayah Gaza yang mempunyai 1.5 juta penduduk yang bergantung kepada bantuan luar masih terputus dari dunia luar selepas semua pintu masuk ditutup sejak Jumaat lalu berikutan arahan Kabinet Israel yang mahu mengekang serangan pejuang.

Kilang-kilang roti turut menghentikan operasi berikutan ketiadaan bekalan tepung dan tenaga elektrik.

Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Palestin di Gaza mendesak Israel membuka semula pintu masuk dan meminta masyarakat antarabangsa membantu penduduk awam.

“Penutupan janakuasa menyebabkan seluruh Bandar Gaza dengan 600,000 penduduknya bergelap,” kata John Ging, sambil menambah, ia memberi kesan kepada semua aspek kehidupan penduduk di Gaza.

“Jika anda melawat hospital-hospital, anda akan mendapati generator yang digunakan hanya memadai untuk peralatan asas sahaja. Mereka kesejukan di semua wad, menambahkan penderitaan pesakit,” ujar Ging.

Sementara pergerakan Hamas yang menguasai Gaza sejak Jun lalu menyatakan, langkah rejim Tel Avib merupakan “hukuman mati” ke atas wilayah ini dan menggesa campur-tangan antarabangsa.

Gesaan Hamas tersebut turut mendapat sokongan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang mahukan Israel menamatkan kepungan dengan segera.

-Utusan Malaysia-

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum. Salam perjuangan.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini. Segala isi kandungan blog ini merupakan serba sedikit perkongsian ilmu, pengalaman dan pendapat penulis.

Para pembaca diizinkan untuk berkongsi bahan-bahan blog ini dengan syarat dikekalkan link kepada blog ini.

Sebarang nasihat, komen, kritikan membina dan teguran berhikmah untuk penambahbaikan blog ini amatlah dialu - alukan.

Terima kasih.