12 February 2010

Bedah Buku : Panduan Belajar Bahasa Arab untuk Haji dan Umrah

Salam perjuangan.

Baru-baru ini saya telah membeli sebuah buku asas bahasa Arab bertajuk : 

"Panduan Belajar Bahasa Arab untuk Haji dan Umrah "


cover depan


Buku ini merupakan sebuah buku yang mudah difahami bagi golongan yang baru hendak mempelajari bahasa Arab. Berdasarkan pengalaman penulis sebagai pensyarah di UIAM, penerangan beliau dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sangat membantu para pembaca. 



cover belakang


Namun pada pemerhatian saya, buku ini masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki:


1) Penggunaan bahasa Arab

Seperti mana yang diketahui, bahasa Arab terbahagi kepada dua jenis: fushah (bahasa baku) dan 'ammiah (bahasa pasar).

Penggunaan bahasa Arab fushah sangatlah jarang dipraktikkan di Mekkah dan Madinah. Mereka lebih mengutamakan lahjah (loghat) tempatan. 

Penggunaan bahasa Arab fushah hanya dapat dipraktikkan semasa kuliah-kuliah pengajian di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi atau di kedai-kedai buku sahaja. 

2) Perbualan bahasa Arab

"Alah, kita boleh berborak dengan penjual-penjual kedai nanti..." ulas seorang pembaca.

Berdasarkan pengalaman cetek saya, para penjual di Mekah dan Madinah sekarang kebanyakkannya adalah berbangsa Bangladesh. 

Mereka juga sangat susah hendak melayan kita berbual dalam bahasa Arab fushah. 


Walau bagaimana pun, saya memuji usaha penulis menyertakan beberapa kalimat bahasa Arab 'ammiah dalam buku tersebut. 

25 January 2010

Apa Jenama Ubat Gigi Anda ???

Salam perjuangan. :)



Manusia pada hari ini sudah diorientasikan kepada Barat. Semuanya harus di'Barat'kan.


Makanan.


Pakaian.


Pergaulan.


Cara berfikir.


Pendek kata, semuanya harus mengikut Barat dan Amerika. 





Amerika pada ini bolehlah diibaratkan seperti Rom pada suatu masa dahulu.







السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ
Bersiwak menyucikan mulut dan mendatangkan redha Tuhan


Sekiranya kita bercakap dengan golongan ini berkenaan Islam, sunnah Nabi dan sebagainya pasti dihina dan dipandang mundur.


"Kita sekarang dah ada Colgate, Darlie, Pepsodent, tak perlu dah siwak-siwak ni" ujar seorang mamat saleh.


Namun, tahukah anda bahawa ketika seruan Rasulullah untuk bersiwak ini dibuat, tamadun Rom, ibu bagi tamadun Barat yang diagungkan-agungkan pada hari ini menggunakan apa untuk mencuci gigi mereka? 








Mereka menggunakan air kencing untuk membersihkan gigi mereka !


Malah mereka mengutamakan air kencing manusia daripada Sepanyol sebagai ubat gigi paling mujarab !


Jika tidak, mereka akan menggunakan air kencing seladang sebagai ganti !


Budaya ini menjadi amalan setiap masyarakat Barat sehingga kurun ke-16 !


Manakala, ubat gigi yang digunakan pada hari ini merupakan sumbangan besar Islam terhadap tamadun manusia seluruhnya. Ekstrak siwak telah digunakan di seluruh pelosok alam.


Wahai pendewa tamadun Barat, apa jenama ubat gigi anda ???


Saya pasti jawapannya hanya satu...










13 November 2009

Sayonara Semester 1 Tahun 1

Assalamualaikum, salam perjuangan.


Alhamdulillah, peperiksaan pada semester ini telah pun berakhir. Pada semester ini saya mengambil 6 mata pelajaran dan kesemuanya tamat sebelum saya bertamu ke Rumah Allah.


Tilawah al Quran I
31 Oktober 2009
ADM LT 5
Jam 9 pagi


Subjek ini merupakan subjek fundamental yang diwajibkan bagi para pelajar Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences. Saya mengambil subjek ini dengan Ustaz Abdul Khair Jalil, lulusan Mesir.


Saya begitu berpuas hati dengan teknik pengajaran beliau yang menggaitkan dengan matan al Jazari.


Jahili and Islamic Poetry Texts
3 November 2009
IRK SR 1.15
Jam 9 pagi


Madah ini merupakan kertas kedua decentralized exam saya pada semester ini. Ana berguru dengan Assoc. Prof. Dr. Ahmed Omran A. Ben Salim dari Libya. Pada mulanya, subjek ini diajar oleh Assoc. Prof. Dr. Majdi Hj. Ibrahim yang terkenal dengan program Hayya bil Arabiah di radio IKIM, namun berlaku perubahan pada minggu kedua semester.


Dr. Omran banyak mengaitkan subjek ini dengan budaya Arab dan asal bahasa Arab bagi perkataan-perkataan Arab.


كفر asalnya bermakna menutupi sesuatu sehingga diambil oleh bahasa Inggeris sebagai cover.



Arabic for Academic Purpose (AAP)
3 November 2009
Banquet, CAC
Jam 3 petang


Mata pelajaran ini menyediakan para pelajar dengan kaedah-kaedah asas penulisan ilmiah. Saya belajar dengan Ustaz Ibrahim Khogaly ElSayed warga Sudan. Ustaz begitu menekankan kemantapan bahasa, malah tidak pernah menyemak assignment kita sebaliknya kita diminta membentangkannya di hadapan kelas sambil ditegur secara terus di mana salah dan silap kita.


Islamic Aqidah (Arabic)
6 November 2009
Foyer 1 (CAC)
Jam 9 pagi



Jika anda sering mendengar khutbah Jumaat anda mungkin mengenali pensyarah bagi subjek ini. Dr. Majdan Alias, mengajar Rukun Iman dengan menggunakan perbandingan agama.


Quranic & Prophetic Texts
10 November 2009
Main Hall (CAC)
Jam 9 pagi


Bagi mata pelajaran ini pula ana belajar dengan Dr. Nik Hanan Mustapha. Kami diajar mempraktikkan ilmu sorof, nahu dan balaghah potongan ayat-ayat al Quran dan hadis Nabawi.


Islamic Ethics (Arabic)
11 November 2009
Jam 3 petang
Foyer 1 CAC



Bagi madah ini, ana menyelusuri perbincangan ahli-ahli falsafah berkenaan dengan akhlak di bawah seliaan Dr. Amilah Awang Abd. Rahman. Para pelajar didedahkan dengan keburukan dan kelemahan sistem moral Barat sebelum dibentangkan dengan sistem akhlak Islamiah yang syumul, bersifat rabbaniah, dan seimbang.


Sepanjang minggu peperiksaan, saya sentiasa mengikuti perkembangan Dr. Asri Zainal Abidin yang ditangkap atas kesalahan 'tiada tauliah'. Berdasarkan pemerhatian saya, beliau banyak menggunakan dalil-dalil al Quran dan as Sunnah dalam pengajaran beliau.


Saya juga suatu ketika dahulu pernah 'kurang senang' dengan gerakan beliau tanpa sebarang usul periksa, namun kehendak Allah mengatasi segalanya. Apabila saya menukar bidang pengajian saya daripada perubatan ke bahasa dan kesusasteraan Arab, saya lebih memahami isi-isi kuliah beliau yang begitu ilmiah.



Benarlah sabda Rasulullah ini :





من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

29 October 2009

بالتوفيق والنجاح


Salam perjuangan...

29 Oktober 2009


Alhamdulillah, hari ini merupakan hari terakhir bagi kelas-kelas saya pada semester ini. Esok akan bermulanya kertas pertama saya iaitu subjek Tilawah I pada jam 9 pagi di LT 5. Mohon didoakan.


10 - 12 October 2009
Majlis Konvokesyen UIAM ke-25


Sepanjang berada di UIAM, saya telah melihat bermacam-macam gelagat graduan universiti ini pada hari graduasi.

Ada yang bergambar di depan perpustakaan, di depan masjid dan sebagainya.

Ada yang membeli hadiah teddy bear, bunga ros dan lain-lain kenangan.


Saya ingin menarik perhatian para pembaca sekalian pada beberapa perkara sebagai renungan bersama.

Pernahkah terlintas di fikiran kita, adakah kegembiraan kita menyambut majlis konvokesyen itu benar-benar mencerminkan pencapaian dan usaha kita selama ini? Adakah kita layak diraikan sedemikian rupa?

Presentasi

Umum mengetahui bahawa mutu presentasi sebahagian besar pelajar UIAM terutamanya dalam subjek-subjek yang menggunakan bahasa Arab sebagai medium sangat lemah.

Antara kelemahan ketara yang saya dapat simpulkan di sini adalah:

1) Lemah penguasaan bahasa Arab.

Terdapat banyak kesalahan bahasa dalam penulisan dan pembentangan tanpa dirujuk
terlebih dahulu kepada pelajar yang lebih mahir.

2) Kurang persediaan

Boleh dikatakan kebanyakan pelajar yang membuat pembentangan di hadapan kelas tidak
mengkaji dengan begitu teliti sesuatu topik yang dibentangkan. Malah berasa lega
sekiranya tiada soalan ditanya oleh pelajar-pelajar lain.

3) Tiada kesungguhan

Terdapat juga para pelajar yang sekadar membaca slides tanpa ada usaha untuk
memperbaikinya, malah ada kes ketawa terbahak-bahak di depan!


Tugasan

Dalam membuat tugasan juga para mahasiswa kita tidak begitu bersungguh-sungguh menyiapkannya. Pedulikan sama plagiarisme,

"Alah, copy and paste ajelah, kalau buat elok-elok pun bukan pensyarah semak sangat." kata bijak pandai tak bertauliah.

Mungkin ini lebih hebat,

"Eh, tugasan subjek X dah siap? Aku belum sampai separuh lagi." soal seorang teman.
"Dah, aku dah lama siap. Ambil daripada tugasan semester lepas!" balas pelajar rajin.


Kehadiran


Sudah agak lama ana mendengar komen-komen negatif daripada pelajar-pelajar kita kepada rakan seperjuangan mereka di Mesir yang ponteng kelas di Universiti al-Azhar, namun melihat realiti yang ada di bumi UIAM pun lebih kurang sama.

Berapa ramai para pelajar kita yang ponteng kelas terutama pada waktu pagi, berapa ramai pula yang datang ke kelas begitu lewat dengan selamba, malahan ada yang tidur dalam kelas bagi subjek-subjek yang agak membosankan cara penyampaian pensyarahnya.


Ujian dan Peperiksaan

Para pelajar kita ini tadi yang 'begitu rajin' datang ke dewan kuliah pada hari-hari biasa sepanjang semester didapati bertambah rajin datang ke kelas-kelas akhir mereka mengharapkan 'tajuk-tajuk bocor' daripada pensyarah.

Pensyarah yang memberitahu tajuk-tajuk yang akan disoal dipuji, manakala pensyarah yang tidak melayan kerenah mereka ini dikeji pula.

Lantas, mereka hanya belajar pada saat-saat akhir bagi topik-topik tertentu sahaja.

Mungkin ada yang pernah mendengar kata-kata ini:

"Oh, macam ni rupanya yang aku tak faham apa aku belajar selama ini" sedar si pelajar bestari.


Tajaan

Apabila tiba musim memohon tajaan tidak kira sama ada daripada JPA, MARA, PTPTN dan sebagainya, bukan main sibuk sekali para pelajar kita mengisi borang.

Alih-alih ada sebahagian daripada mereka juga yang memiliki kecenderungan untuk memilih bersifat dengan sifat-sifat di atas.

Saya tidak mengatakan bahawa saya merupakan pelajar contoh, malah catatan ini lebih kepada muhasabah saya kepada diri saya sendiri. Saya sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian marilah bermuhasabah diri kembali.

Ingatlah, walau apa pun jenis tajaan kita, kita diberi amanah sebenarnya untuk menuntut ilmu bukan sekadar mengejar keputusan cemerlang.

Bagi yang mendapat tajaan biasiswa atau pinjaman, ingatlah anda sebenarnya menggunakan duit rakyat yang harus anda bayar dengan belajar bersungguh-sungguh dan berbakti kemudian hari.

Manakala bagi yang ditaja oleh ibu dan ayah juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Cuba bayangkan apa reaksi ayah dan ibu anda sekiranya mereka mendapat tahu perangai anak-anak mereka di UIAM ini.

Jerih perih mereka selama ini untuk membesarkan kita dan menyekolahkan kita sehingga ke peringkat universiti adakah kita hargai ?

27 October 2009

Nama Pun Bas Ekspres...

Salam perjuangan...

Masuk minggu ini sudah minggu ke-empat saya balik kampung kerana menguruskan urusan menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

Setelah beberapa lama menaiki pengangkutan awam di Malaysia, pelbagai pengalaman dan kisah yang saya alami, para pembaca yang ingin berkongsi cerita amatlah dialu-alukan untuk berbuat demikian di ruangan komen.


24 Oktober 2009
Puduraya
Jam 2 petang

Saya bersama Hamzah sampai ke Puduraya dengan harapan ingin membeli tiket segera pulang ke Sungai Petani, Kedah. Kami yang pada mulanya ingin solat terlebih dahulu diganggu dengan pertanyaan bertalu-talu daripada si penjual tiket jalanan.

Menurut pengamatan saya, si penjual tiket ini selalunya menawarkan tiket segera ke mana-mana destinasi yang diingini tanpa bertangguh-tangguh. Kemudiannya pasti banyak kerenahnya yang bakal dihadapi.

Setelah beberapa kali terkena dengan taktik mereka ini, saya lebih suka memilih untuk tempah tiket bas awal dengan beberapa syarikat bas terpilih. Namun, disebabkan saya terpaksa pulang segera ke kampung pada hari Sabtu itu, terpaksalah saya melayan sahaja si penjual tiket ini.

Sudah puas saya bertanya supaya kejadian-kejadian buruk sebelumnya tidak berulang lagi.

"Adik nak pergi mana dik?" si penjual mula 'memancing'.
"Sungai Petani" jawab saya selamba.

"Bas sekarang dik, cepat! cepat! 2.30 kita gerak!" si penjual sudah mula 'mengail'.

"Bang, bas berhenti kat mana?" saya bertanya lagi.
"R&R Bukit Gantang dik, kami tak berhenti kat luar" si penjual mula menarik 'umpannya'

"Saya belum solat lagi" saya cuba berdalih.
"Takpe...takpe...kami berhenti lama..." si penjual menang juga akhirnya.

Saya terus menaiki bas dan seperti biasa untuk bas seperti ini, free seating. Saya terus tidur merehatkan diri...

Zzz...zzz...

Masa berlalu, tiba-tiba saya terjaga daripada mimpi lantas memandang sekeliling.

"Eh, ni kat Pudu lagi!"

Jam sudah menunjukkan 3.30 petang...

"Apa ni! kata 2.30 bergerak! ini dah 1 jam!"

Rupa-rupanya penumpang-penumpang yang lain juga meluahkan isi hati yang sama.

Hampir jam 4 barulah bas bertolak. Kepala masing-masing sudah lama berasap.

"Habis dah solat aku hari ini,"

Kemudiannya, bas ini buat hal lagi.

Pukul 7 malam baru bas sampai di Hentian Bukit Gantang.

Baru saja selesai solat jama' qasar, bas sudah mahu bertolak.

"Wah, ini sudah melampau!"

Perjalanan diteruskan tetapi seperti yang sudah dijangka penumpang-penumpang ke Sungai Petani selalu dianak tirikan oleh syarikat-syarikat seperti ini.

Sampai di Pulau Pinang, kami diminta menukar bas lain pula. Keadaan mulai kecoh.

"Baru pertama kali kena kot" bisik saya dalam hati.

Kebiasaannya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah hanya mengambil masa 4-5 jam, tetapi pada kali ini hampir 8 jam baru sampai!

Kalau naik bas terkenal, pasti sudah sampai Kuala Lumpur balik...


Tersenyum sendirian tatkala membaca keratan akhbar ini :

Najib happy with Puduraya upgrade



Fasiliti sahaja yang dipertingkatkan tidak mengubah apa-apa. Kita hanya boleh berasa gah dengan perubahan Puduraya tidak lama lagi. Namun, selagi mana perkhidmatan bas ekspres masih di takuk lama, mungkin benar kata-kata ini:

World class facilities, with third world ideology.

Hai, nasib...nasib...